SOALAN BOCOR


posted by Martinelli Hashim

No comments


Bukanlah suatu ungkapan sia-sia apabila dikatakan  hidup ini penuh ujian. Ujian terus diberi dan diberi selagi hidup dikandung badan. Ujian hidup ini untuk apa kalau bukan ujian untuk meningkatkan iman seseorang dan meninggikan maqam insan di mata Allah yang menciptanya. Itu yang diberitahu dalam ajaran Islam. Lagi susah ujian lagi tinggilah pula maqamnya. Sebagaimana juga dalam ujian peperiksaan yang kita lalui bermula dari yang senang hinggalah yang susah. Dari ujian UPSR hinggalah ujian universiti. Lulusan UPSR sudah tentu lebih rendah tarafnya dari lulusan PMR, SPM malah jauh lebih rendah dari lulusan universiti. Hanya mereka yang sudah lulus setiap ujian saja yang diberi pengiktirafan.

Akal kita akan dikatakan tidak sempurna sekiranya kita gagal meneliti setiap ujian yang diberi.  Maka telitilah setiap apa yang tersirat dalam ujian Allah. Tidak mungkin Allah memberi ujian untuk sia-sia.

Ujian tidak terhenti di dunia. Soalan-soalan akan terus dikemukakan Allah melalui malaikatNya apabila saja sampainya kita di dalam kubur. Ianya juga tidak berhenti di situ malah diteruskan lagi di padang Masyar. Allah sendiri yang akan menanyakan kita.

Dalam dunia kita hanya mengetahui soalan ujian itu apabila ia datang dalam hidup kita. Ia datang tanpa diduga. Namun kita masih punya masa untuk berfikir dan memperbaiki diri. Kita menerima ujian mengikut ketabahan jiwa dan kekuatan akal untuk menyelesaikannya.

Tanpa kita sedari cara kita mengendalikan ujian-ujian di dunia ini adalah bekalan kita untuk menjawab soalan-soalan yang lebih hebat  setelah dunia fana kita tinggalkan. Pada saat jasad tidak mampu bergerak dan  akal  tidak mampu lagi berfikir yang tinggal hanya roh yang telah bersama sejak mula penciptaan kita.

Bezanya dalam ujian dunia kita tidak tahu soalan apa yang akan diberikan Allah.  Malah kita tidak tahu waktu bila datangnya ujian itu. Tetapi di kubur dan di masyar, dengan kasihnya Allah pada kita, kita sudah diberitahu soalan apa yang akan ditanya. Allah membocorkan soalan yang bakal ditanya demi menyelamatkan kita dari terhumban ke lubang neraka.

Soalan-soalan tentang amanah yang diberikan sering diulang-ulang sebagai peringatan. Harta dari mana didapati, untuk apa dan dengan cara ia digunakan. Muamalah dan ibadah bagaimana ia dilaksanakan. Semua itu adalah soalan wajib untuk setiap insan sudahpun diberitahu dengan jelas oleh Pencipta sebelum kita menemuiNya. Kerana rahmahNya juga maka diturunkan RasulNya, Muhammad saw bagi memberi peringatan untuk kita agar bersiap siaga kerana di sana  nanti roh tidak akan mampu berbohong.

Kalaulah lembu dan kambing korban tahu yang dia akan mati disembelih, tentu mereka tidak seenaknya makan rumput lagi. Lembu tidak berakal, walaupun kita sudah menunjukkan pisau yang berkilat yang bakal memutuskan urat lehernya, namun dia tetap enak makan rumput. Tetapi tanda degilnya manusia, dia tahu dia bakal mati, mati itu adalah sangat sakit, azab kubur itu lebih sakit dan kekecohan di masyar itu sangat dahsyat tetapi manusia masih gembira melakukan dosa.

Soalan bocor untuk peperiksaan adalah tuah yang ditunggu oleh calon peperiksaan dan ia akan berusaha untuk menyediakan jawapannya sesempurna mungkin.

Solan bocor oleh Allah sudahkah kita perhatikan agar kita berjaya menjawabnya apabila sampai masanya nanti di mana tiada lagi ibu, ayah, anak atau kekasih untuk membantu.menjawabnya untuk kita?

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai