Memuji Si Comel


posted by Martinelli Hashim

No comments

Cucunda yang selalu menyebut Allah


Teruja membaca status anak-anak yang baru jadi ibu dan ayah dalam facebook... sekadar nak berkongsi antara tips membesarkan anak dengan baik, sebutkan 'masyaAllah' atau 'subhanAllah' sebelum memuji si comel . InsyaAllah anak itu akan membesar dengan baik dalam jagaan dan rahmat Allah yang Maha Pengasih dan terhalang dari gangguan shaitan. 

"MasyaAllah, comelnya anak umi", "SubhanAllah, anak umi dah pandai jalan?", "InshaAllah, anak umi tak buat nakal lagi"....... indah, kan?


Teringat kata-kata seorang ustaz, "Pujian yang TIDAK didahului dengan nama Allah, boleh membawa mudharat kepada orang yang dipuji seperti mudah kena penyakit atau mudah mendapat gangguan iblis."


Anak-anak yang dibiasakan sebutan memuji Allah, sel-sel darah, otak  dan dagingnya InsyaAllah tumbuh dengan sempurna. Ia sebagai persiapan untuk menjadi insan yang sihat badannya, baik akhlaknya, tajam akalnya dan kuat imannya.


Anak ibarat kain putih....kita tidak mahu ia dikotori oleh apapun apalagi najis.

Mencapai bintang di langit


posted by Martinelli Hashim

No comments

Usai menghadiri 'Global University Leadership Summit' di Kota Singa.... sepanjang persidangan ada bicara tentang kehebatan universiti utama dunia, kehebatan pengurusan mereka, kehebatan mereka meraih geran penyelidikan berbilion dolar setahun, kehebatan sumbangan alumni mereka, kehebatan mereka menjana kewangan ......  saya amat kagum apabila disebutkan, "Most of these universities are successful because they have great people who are very loyal to the university..."


Dibicarakan juga ciri-ciri 'global universities '....ia  membuat saya termenung sebentar mengenangkan gelaran "Premier Global Islamic University" yang ingin diraih oleh UIAM dan menilai ciri-ciri yang ada pada kita pada ketika ini ...... kehebatan yang mana satu?...... tarik nafas dalam-dalam, "Demi ummah kita perlu bekerja keras lagi memperbaiki segalanya...kurangkan bicara, perbanyakkan usaha. Bintang yang hendak dicapai masih jauh dilangit, pendakian yang amat perit....."

Buat diri yang serba kurang


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dengan tugas yang semakin mencabar, dengan masa yang terhad untuk melabuhkan diri di majlis-majlis ilmu, dengan runtunan jiwa untuk lebih banyak turun menyumbang dalam amal maaruf nahi munkar, ….. langkah terhenti sebentar memandang teman-teman, adik-adik dan anak-anak yang ada di sekeliling…. wajah tunduk ke bumi menginsafi akan kekurangan diri dalam serba-serbi. 

Dengan ceteknya ilmu, tidak mampu menjadi ulama. Dengan kurangnya kemahiran, tidak mampu meraih kehebatan. 

Tenaga semakin berkurang, umur semakin pendek…….Hidup dengan rezeki Ilahi, tidak kaya, tidak berkuasa, tidak berjenama malah tidak punya apa-apa yang lebih dari manusia biasa….. yang ada hanya kasih sayang buat saudara seagama, tanpa syarat tanpa balasan. Ada iman yang sedikit merintih untuk tidak tercabut dalam lena dunia. 

Rasa ingin mencurahkan kebaikan, rasa takut menzalimi mereka yang tidak berdosa, rasa gentar tersalah membawa amanah…. Namun akur Allah akan menguji. Ujian Allah lewat manusia berbagai sikap berbagai perangai… menyuruh akal berfikir agar layak bergelar manusia…. Manusia, bukan flora bukan fauna yang melata. Manusia ada budi ada ruhaninya. Ada akal, ada adabnya. Ada selera, ada tanggungjawabnya.

Manusia ada hati, ada perasaan ... rasa sedih, rasa gembira, rasa ingin saling hormat menghormati menjadi manusia mulia, ....namun ada juga yang memilih menjadi tidak mulia membuang jauh akhlak dan budi hidup memenuhi nafsu sendiri. 

Buat kerja dengan betul


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dalam mengharungi tugas pejabat yang sangat mencabar, kerenah sebahagian para pensyarah yang kadang-kadang hilang adab dan nilai kemanusiaan, tiba-tiba saya merasa damai apabila berurusan dengan seorang profesor muda yang saya kagumi, pakar aeroangkasa, Prof Dr. Yulfian Aminanda yang berkata, “We engineers are trained to work with accuracy, transparent, think straight and follow the right procedures….”

Kata-kata itu diucapkan selepas saya berterima kasih kepadanya yang sangat memahami tugas saya mengendalikan geran penyelidikan…. “Prof., thanks for making things easy for us. You have submitted complete documents. You’ve never skipped any procedure. ”

Dia jawab, “It’s my pleasure. I have to thank you more. Your staff has been very helpful.……but please don’t call me prof, saya cuma orang kecil.” Dengan loghat Indonesianya.

Orang kecil yang berjiwa besar. Fahamlah saya apabila membayangkan apa akan terjadi kalau tersilap memasang sebiji skrew dalam enjin kapalterbang.

Saya mengkagumi beliau bukan saja kerana peribadinya yang sangat menghormati siapa saja, sangat tawadhu’ malah cara beliau mengendalikan projek kajian jutaan ringgit yang amat tersusun, jelas dan lengkap membuat urusan kami menjadi mudah. Semua prosedur diikuti dengan baik. Tidak pernah kami mendengar sedikitpun rungutan dari dia. Jauh sekali bezanya dari sikap sebahagian pensyarah yang mudah melenting menyalahkan Bertuahnya Kulliyyah of Engineering yang punya ramai pensyarah seperti beliau. Kalaulah semua kuliyyah macam KOE !!!!

Kata ulama, orang yang menyenangkan urusan orang lain, Allah akan menyenangkan urusannya dan hidupnya akan bahagia.

…… sebuah inspirasi buat saya,”Work with accuracy, transparent, think straight and follow the right procedures.” …….Saya tambah, “with respect and humanity”

Tenangkan Dunia Dengan Peribadi Mulia.


posted by Martinelli Hashim

No comments

"Aku menenangkan dunia dengan peribadi mulia." kata Salahuddin Al Ayubi. 

Kekuatan tenteranya dan keimanannya yang tinggi mampu menawan tentera salib yang begitu gagah dan  keperibadiannya yang mulia mampu menawan hati rakyat yang belum bershahadah.

Sultan Muhammad AlFatih dengan peribadinya yang mulia membuka serbannya untuk turut bersama rakyat merasai penderitaan membina tembok. Tiada protokol, tiada sanjung-sanjungan. Yang ada hanya hati yang sentiasa takut kepada Allah.  Baginda dikenali sebagai sebaik-baik raja yang membawa bersama sebaik-baik tentera menakluki benteng kerajan Byzantine.  Konstantinopel akhirnya dapat direbut. Serban  sentiasa di kepala sebagai persiapan menjadi kain kafan apabila Allah mengambil nyawanya. Qudwah hasanah yang ditunjukkan sang raja telah diikuti oleh semua tentera yang bersamanya menegakkan kekhalifahan ummah. Peribadinya yang mulia jugalah yang membuat manusia dan semua makhluk Allah di bawah pemerintahannya merasa selamat

"Peribadi mulia perlu ada ilmu." Kata seorang lelaki di Thusi, lalu dia menyerahkan anaknya untuk dididik dengan ilmu sehingga menjadi ilmuan besar iaitu  Imam Al-Ghazali, Hujjatul Islam. Dengan ilmu dan peribadi yang hebat, beliau membersihkan khurafat para ahli sufi agar tasawuf diletakkan ditempat yang tinggi.

Kehebatan ilmu Imam AlGhazali menerangi akal manusia, kehebatan peribadinya menerangi martabat keinsanan manusia sebagai penjaga alam milik yang Maha Kuasa.

"Peribadi mulia akan terbina dengan amalan zikir." Kata Imam Al-Banna, maka beliau menyusun al-mathurat untuk diamalkan oleh pengikut beliau. Maka terbinalah Ikhwan Muslimin dengan jutaan pengikut yang terdidik menjadi doktor, jurutera, ahli sains , ahli ekonomi namun seluruh alQuran mampu dihafaz serta berperibadi mulia.

Siapa tidak kenal Dr. Muhammad Mursi, presiden, agamawan, pakar kejuruteraan kimia, sukarelawan kemanusiaan dan bapa yang hebat hasil tarbiyyah Ikhwan Muslimin. Peribadinya yang mulia mampu mendidik seluruh ahli keluarganya hafaz Al-Quran lalu menawan hati seluruh manusia yang cintakan keamanan.


"Apabila kita menyentuh keinsanan dalam diri manusia, ia akan bangun walau terpendam, walau mati. Apabila kita menyentuh keinsanan, ia akan bangkit." Kata  Youseff Nada, jutawan dan tokoh Ikhwan Muslimin yang berperibadi mulia dengan menggunakan kehebatannya mengajak pemimpin dunia menyelamatkan nyawa manusia dari menjadi mangsa tamak kuasa para pemimpin.

Youseff Nada diselamatkan oleh rakan banduan kerana si rakan rasa terhutang budi dengan kehebtan peribadi bonda Yousoff yang pernah membantunya di kala susah.
Ternyata kemuliaan peribadi yang begitu ditekankan dan amat terserlah di kalangan para pendokong Ikhwan Muslim menjadikan IM brgitu berbeza dengan dengan gerakan Islam yang lain.

Ikhwan Muslimin, Lebih 80 tahun ahli mereka ditekan dan didera dan ribuan dibunuh dengan zalim, namun kemuliaan peribadi mereka yang berdaawah dengan menyantuni siapa saja semakin mendapat tempat di hati rakyat marhaen

Mampukah kita yang terlibat gerakan Islam di Malaysia  membina peribadi sehebat Ikhwan Muslimin? 

Dalam suasana yang kritis ini kita tidak perlu menunggu untuk orang lain melakukannya untuk kita. Ia bermula dari diri dan di tempat di mana saja kita berdiri. 
Cuba baca buku ini ..... anda akan merasa kerdil dalam memenuhi tuntutan islah.












FaghfIrli Ya Rabb


posted by Martinelli Hashim

No comments

Menggarap isi-isi motivasi…..Menggenggam tekad untuk jadi lebih cekap, lebih pantas, lebih bijak dan kerja berkualiti untuk Allah. Usah difikir apa manusia kata, apa manusia pandang…. Work the best not to impress people but Allah. 

Kata Ahmad Totonji, “The kufar are working hard. They work fast. If they run 40km/hr how can you catch them if you run  at  only 30km/hr. They work smart.”

Di saat melihat hebatnya orang lain bekerja, terasa kerdilnya diri. Saat meniliti kejayaan orang lain, hati berdoa memohon dianugerah hikmah dalam berfikir, bekerja dan beribadah. Saat menyaksi kesabaran orang yang diuji, malu terasa usaha yang terlalu kecil mendekatkan diri padaNya namun masih dicurahi kasihNya Yang Maha Agung.

Usaha diganda, namun mungkin tiada izin dariNYA langkah kecundang, wajah tersembam ke bumi bercalit lumpur. Cuba mencari silapnya diri.... hati tidak mampu berpaling pada hakikat bahawa Allah lebih utama dari segalanya.

Tentu ada hikmah disebaliknya atau kafarah pencuci dosa … peringatan dari Dia agar usah ada rasa ujub, usah lupa Dia penentu segalanya.... pengajaran di saat diselubung alpa….. Tarik nafas dalam-dalam, Husnulzhon padaNya kerana Dia penguasa Yang Maha Agung. Terus mencari redhoNya, faghfirli ya Rabb. Berilah peluang lagi menyusun langkah di jalan lurus demi ummah tercinta.... 

PESAN BUAT SARJANA


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Sarjana bukan untuk disanjung-sanjung
Hari ini buat kesekian kalinya kakitangan saya mengadu lagi dikasari oleh seorang professor wanita dan merungut,”Pensyarah dari dua kuliyyah ini jarang sangat yang bercakap baik-baik. Agaknya di dua kulliyyah ini dah tak ada pensyarah yang beradab dengan staf bawahan. Silap sikit melenting. Kita tak silap pun dia melenting.”

Komen biasa yang sudah diulang-ulang. Seperti biasa saya sangat sensitif apabila mendengar pendidik mengkasari orang lain atau ketua mendera orang bawahannya. Apalagi kalau yang melakukannya adalah mereka yang sudah melalui tarbiyyah UIA.

Dua buah kulliyyah yang pensyarahnya sering tidak disenangi oleh kakitangan kerana sikap sombong mereka.

Apapun kesalahan kakitangan bawahan, apalah salahnya bercakap dengan baik tanda kita makhluk yang dicipta oleh Yang Maha Penyayang. Kita seharian dijaga oleh Yang Maha Pengasih yang mencurahkan kasihNya tanpa dipinta. Kita diberitahu bahawa Allah menjauhkan rahmatNya dari orang yang tidak mengasihi makhlukNya. Kita juga ada anak dan sudah tentu kita tidak mahu mereka dikasari oleh orang lain seperti itu.

Percakapan yang baik keluar dari jiwa tawadhu yang tahu dirinya hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa selain pinjaman sementara. Keserjanaan yang diraih adalah untuk menyenangkan manusia dan seisi alam, bukan untuk disanjung-sanjung atau digentari.

Teringat kata-kata Ustaz Dato’ Sidiq Fadhil, “Kalau terasa kita sudah hebat dengan gelaran jutawan, atau penguasa atau professor atau sarjana, cubalah solat dan sujud di atas tanah tanpa sejadah, rasakanlah  sebenarnya diri kita tidak lebih dari tanah itu,  begitu kerdil dan hina…… barulah kita tahu hanya Allah saja yang besar dan mulia.
Kita tidak dapat menghayati takbir membesarkan ALLAH kerana kita sibuk dengan membesarkan diri.”

Kita tidak dapat menghayati kemuliaan Allah kerana sibuk mencari kemuliaan diri. Kita mengharap untuk dipandang tinggi oleh makhluk di bumi tetapi kita lupa itu membuat kita dihina oleh makhluk di langit.

Teringat juga cerita Yussof Nada, jutawan Ikhwan Muslimin, dalam bukunya yang menceritakan pengalamannya dalam penjara dibantu oleh seorang banduan lain yang sangat bengis tetapi berlembut dengan yusof kerana dia tahu yusuf adalah anak seorang wanita yang selalu membantunya dulu.

Kata orang sekali kita bersikap baik kepada orang lain, InshaAllah, seribu kali anak cucu kita nanti akan menerima kebaikan dari orang lain. Begitulah sebaliknya.

 Profesor atau sarjana usah sekali-kali menghina orang lain kerana kita tidak tahu bagaimana hubungan orang yang kita hina itu dengan Allah. Kekasaran seorang sarjana kepada mereka yang dibawah sama dengan melacurkan nilai kesarjanaannya….. kata-kata yang saya pinjam dari sahabat saya,seorang sarjana yang baik dan tidak sombong.