Sebuah Perjalanan Pendek


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Dalam keadaan sedikit mencungap setelah berjalan agak jauh ke perhentian bas UIA, saya dapat melabuhkan badan di bangku yang tidak diduduki. Sudah begitu lama tidak menaiki bas awam. Kali ini saya megambil keputusan untuk naik bas saja ke Kuala Lumpur bagi menghadiri seminar menangani isu pembuangan bayi. Kembali merasa susah senang menaiki bas Rapid K.L. Namun ada kebaikannya. Saya akan menjimatkan belanja, tidak perlu mencari parking, boleh membaca buku, mengurangkan gas beracun yang merosakkan alam.

Di bangku sebelah seorang anak gadis sedang membuka sebuah buku kecil di tangan. Mulutnya kumat-kamit membaca buku itu. Kulit buku itu tertulis “Al Ma’thurat”. Mungkin dia tidak sempat membacanya selepas solat subuh tadi. Sejuknya mata melihat pemandangan sebegini di Taman Ilmu dan Budi. Bertuahnya ibu yang memiliki anak ini.
Bas U12 tiba, saya menaikinya dengan membayar RM2.50……sudah mahal rupanya. Tidak ramai penumpang. Cukup selesa. Belum sempat duduk, terlihat seorang lagi anak muda lelaki sedang membuka buku kecil “Al Maathurat”. Apakah dia juga seperti gadis tadi, tidak sempat membacanya selepas solat subuh? Di bangku yang lain seoarang pelajar berwajah Arab memegang tasbih di tangan. Subhanallah. Berkatilah semua pelajar ini, ya Allah. Dalam kerisauan kita mendengar akhlak anak-anak UIA makin merosot, tiga pelajar ini memberikan kita gambaran sebaliknya.
Terbayang sebentar pengalaman petang semalam sewaktu singgah solat di surau Kolej Mara Banting selepas menghantar anak kembali ke asramanya. Beberapa kelompok pelajar sedang tekun berusrah. Di tangan masing-masing memegang buku kecil itu juga, “Al Maathurat”. Mereka adalah pelajar-pelajar terpilih  yang sedang mengikuti program International Baccalaureate sebelum dihantar ke luar negara.  Saya diberitahu bahawa usrah itu sukarela tetapi hampir semua pelajar mengikutinya. Alhamdulillah anak-anak muda ini mendapat asuhan agama yang hebat.
Saya selalu berpesan kepada anak-anak,
“Bacalah AlMa’thurat kerana ia terdiri dari ayat-ayat pilihan dan doa-doa yang ma’thur dari Rasulullah saw. Mewiridkannya InsyaAllah
  • kita akan sentiasa dilindungi Allah
  • kita tidak perlukan pergantungan kepada orang lain
  • fikiran kita akan lebih tenang
  • hati kita akan lembut
  • sifat kedekut akan terhakis
  • rezeki akan lebih murah.
  • kita akan terhindar dari syirik
  • kita akan mati dalam iman
  • kita akan selamat dari fitnah dunia, kubur dan akhirat
  • kita akan dikurniakan kesehatan yang baik
  • kita akan terlindung dari sihir
  • kita akan terhindar dari nyanyuk
  • kita akan mendapat syafaat di hari akhirat
Banyak lagi kelebihannya yang lain mengikut fadhilat setiap zikir yang dibaca.
Kita akan merasakan perbezaan hari yang dimulakan dengan al-mathurat dan hari tanpa zikir itu.
Kita hanya akan selamat apabila dekat dengan Allah. Bacalah Al Maathurat.”
Hanya sebahagian kecil anak muda mencari pendinding menggunakan zikir al maathurat untuk menyelamatkan diri dari kancah maksiat. Beribu orang yg sudah ditarbiyyahkan sewaktu di zaman persekolahan dengan zikir istimewa ini, tetapi kebiasaan itu ditinggalkan setelah sibuk dengan urusan dunia dan kerjaya. Membaca zikir adalah untuk Allah.
Kita menyediakan peruntukkan masa khas untuk keluarga tersayang waktu malam dan hujung minggu tetapi kita selalu lupa menyediakan peruntukan masa khas untuk Allah yang Menyayangi kita dan orang yang kita sayangi itu dalam agenda kehidupan harian selain solat.
Kalaulah kita dapat memujuk semua anak muda dapat menghayati erti zikir kepada Allah betapa hebatnya anak-anak muda Melayu.
Kalaulah mereka menghadiri usrah, hidup mereka akan lebih disiplin.
Kalaulah mereka punya pembimbing yang baik,
Kalaulah mereka tidak dirosakkan oleh media
Kalaulah dialu-alukan di masjid
Kalaulah mereka didampingi oleh ibu bapa sepanjang masa
Seribu kalau lagi ….. impian  kita  yang sayangkan generasi pewaris ummah.
Sekadar coretan, selepas sebuah perjalanan pendek menaiki bas awam.
Perjalanan menaiki bas itu menggambarkan perjalanan hidup kita sebenar. Perjalanan hidup kita amat pendek. Waktu kita dilahirkan kita di iqamat atau diazankan. Setelah meninggal kita disolatkan. Hidup kita hanya sekadar antara jarak antara azan dan solat sahaja…..begitu pendek sekali. Terlalu pendek untuk kita sia-siakan.
Perjalanan bas banyak berhentinya. Perjalanan hidup kita juga begitu. Kita berhenti seketika untuk menikmati rezeki dan kita juga perlu berhenti untuk berkongsi rezeki dengan orang lain…..bersedekahlah!!!
Kita perlu berhenti sebentar untuk bersolat dan beriadah…..berlaku adillah kepada roh dan jasad!!!
Bas juga berhenti memberi laluan kepada orang melintas. Dalam perjalan hidup kita  diminta berhenti sejenak untuk membantu orang lain agar mereka juga boleh maju ke depan. Jalan raya bukan milik kita seorang. Jalan kehidupan juga bukan kita saja yang berada di atasnya.
Ujian-ujian Allah adalah perhentian sementara bagi melihat kembali ke dalam diri agar kita berfikir dan mengambil i’tibar.
Ada undang2 jalanraya. Melanggarkannya akan membawa padah. Ada undang-undang agama diajarkan Rasulullah  saw. Melanggarnya akan juga membawa padah.




Martinelli Hashim

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai