Archive for July 2011

CARA MUDAH MEMAHAMI ALQUR'AN


posted by Martinelli Hashim on

3 comments


Benarlah kenyataan apabila kita mencari Allah, Dia akan datang dengan segera kepada kita. Kalau kita berjalan kepadaNya, Dia akan datang berlari kepada kita. SubhanaALLAH.

Dalam  mencari-cari sesuatu yang boleh membantu persiapan menyambut kedatangan Ramadhan, hari ini Allah memberi saya suatu yang sangat berharga sebaik saja selesai solat Jumaat di masjid UIA sebentar tadi. Seorang jurutera petroleum  Prof. Dr. Abdul Aziz dari India memberi ceramah yang amat berkesan tentang kaedah memahami al Qur'an bagi orang yang belum pandai berbahasa Arab dan tips bagaimana menghadap Allah dalam solat agar solat itu sempurna.

Kata beliau Allah sudah menjanjikan AlQur'an itu adalah mudah untuk difahami. Rasulullah mengajar isi Alqur'an bukan mengajar cara membacanya. Cara membaca hanyalah keperluan asas untuk memahaminya. Seterusnya ialah usaha kita memahami dan melaksanakan ajarannya bersungguh-sungguh. Tidak mungkin Allah mahu menyusahkan hambaNya untuk memahami ajaranNya. Kalau kita yakin ia mudah, InsyaAllah ia akan benar-benar mudah.

Kata beliau Al-Qur'an mengandungi 78,000 perkataan. Kalau kita memahami setiap perkataan dalam solat kita sudah menguasai 17,000 perkataan. Kalau kita tambahkan lagi memahami perkataan dalam surah-surah pendek dan doa-doa perbendaharaan kita akan bertambah lagi. Kalau kita menggunakan anggota tangan, mulut, mata, telinga warna dan arah gerakan akan membantu kita mengingatnya dengan lebih mudah. MasyaAllah.

Kata beliau, otak kita boleh melakukan sekurang-kurangnya 5 perkara serentak seperti semasa memandu, kita menukar gear, melihat kereta lain, bercakap,  mendengar radio, melihat GPS dan lain-lain kerana setiap satu itu ada ruangnya sendiri dalam otak kita. Semasa solat kita hanya perlu menumpukan kepada satu saja iaitu Allah. Kita akan mampu memberi tumpuan sekiranya ruang-ruang yang dipenuhi untuk perkara-perkara lain ditutup dengan perkara yang hanya berkaitan dengan solat sahaja.

Kata beliau dengan menggunakan teknik yang ditemuinya ini anda insyaAllah mampu memahami 50% alQur'an dalam tempoh 9 jam. Beliau mengajar bahasa Arab dengan mudah menggunakan konsep TPI (Total Physical Interaction) :

  • Masculine (right hand)
  • Shown towards you (2nd person)
  • Four fingers (plural)
  • Raised high (Mudare’ مضارع or imperfect tense)
  • Receiving hand (passive voice)

Saya mencubanya...SubhanAllah sangat berkesan. Anda akan merasa juga, jom sama berkongsi.

Sila Klik di sini dan sebarkannya. Moga kita sama-sama mendapat pahala melalui perkongsian ini.

Anak dijaga ibu dibiar.


posted by Martinelli Hashim

No comments



"Saya dah buat segalanya. Tapi anak saya gagal juga." Keluh Pn Azimah (bukan nama sebenar), seorang ibu yang begitu kecewa dengan pencapaian SPM anak bujangnya.

Beribu-ribu ringgit sudah dihabiskan untuk membiayai persekolahan anak. Belajar di pusat tusyen yang mahal, malah ada juga guru tusyen yang datang ke rumah mengajar si anak supaya dapat tumpuan yang lebih. Entah berapa kali menghantar anak ke Program khemah motivasi sejak anak itu di sekolah rendah lagi. Bermacam-macam buku tambahan dibelikan. Namun anak yang diharapkan semakin mengecewakan. Anak berkawan dengan budak nakal. Gaya remaja masa kini yang dipengaruhi budaya tidak sihat semakin ketara. Rambut belang dan berceracak. Kerenahnya semakin hari semakin  merisaukan ibubapanya.

Sampai bilakah anak mahu mengikut arahan ibubapanya?

Sekuat manakah ibubapa mampu bertahan apabila anak tidak lagi mengendahkan teguran?

Berapakah harga yang perlu dibayar untuk memastikan kejayaan anak?

Waktu kecil kita masukkan mereka ke TADIKA Islam. Semasa di sekolah rendah, kita masukkan juga belajar di sekolah agama atau KAFA malah ada yang dimasukkan ke sekolah swasta Islam. Kita hadir setiap kali ada penyerahan buku laporan. Semuanya dilakukan agar anak kita berakhlak baik.

Tetapi kenapa apabila anak itu remaja dia tidak seperti yang diharapkan. Perlakuannya setiap hari meruntun perasaan ibubapa?


Mungkin saja itu adalah ujian dari Allah. Tetapi adalah baik juga kalau kita meneliti kembali cara hidup kita seharian .

  1. Duit yang kita gunakan untuk mengisi perut anak, membayar pelajaran anak adakah dari hasil yang benar-benar bersih? Kalau duit itu hasil pendapatan si ibu, apakah pekerjaan ibu benar-benar atas redha suami?
  2. Semasa berbelanja makanan mewah-mewah untuk anak-anak, pernahkah kita membayangkan anak-anak orang lain yang kelaparan?
  3. Semasa menghantar anak ke pusat tusyen, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri apakah kita sudah menggunakan sepenuhnya kemampuan kita mengajar sendiri anak di rumah?
  4. Apakah usaha yang dilakukan benar-benar ikhlas kerana Allah atau apakah ada ria' agar anak kita dipandang hebat?
  5. Kalau kita mampu mengorbankan wang ringgit untuk membiayai pelajaran anak, sudahkah kita membuktikan juga yang kita mampu membuat pengorbanan masa, tenaga, keselesaan atau apa saja semaksimanya agar anak-anak mendapat perhatian kita cukup dan sempurna? Sebesar mana kita sanggup berkorban sebesar itu pula akan kita lihat hasilnya.
  6. Kalau kita bersungguh-sungguh menjaga keperluan anak, Apakah kita cukup bersungguh-sungguh dan  berhati-hati dalam menjaga hati ibubapa sendiri atau ibubapa mertua?
  7. Apakah kita cukup berhati-hati dalam berhubung dengan manusia lain agar tidak menyakiti atau mengambil hak mereka tanpa redha  mereka?
  8. Apakah kita cukup berhati-hati dalam menyempurnakan hak Allah? Ingatlah kejayaan yang kita harapkan itu hanya saja Allah yang boleh memberikannya. Kegagalan memenuhi perkara 1 - 6 akan menghalang doa dari termakbul. 
Pn Azimah adalah seorang wanita yang berkerjaya yang sering tidak ada di rumah. Beliau ada ibu yang jarang diendahkan. Ibunya sudah faham dengan kerenah anaknya yang keras hati, oleh itu hanya memendam rasa apabila anaknya bersuara tinggi. Beliau juga sangat kasar dengan ibu mertuanya. Dia lupa ibu mertua ada hak untuk dhormati dan dijaga hatinya dengan baik. Dia terlupa kisah Akramah yang hampir kafir semata-mata kerana ibunya merasa kecil hati dengan menantunya.

Pn. Azimah ada 3 orang lagi anak. Kemungkinan anak-anaknya yang lain mengikut jejak langkah abangnya amat besar. Kalau anda rakan Pn Azimah apakah yang harus anda lakukan? 

Doktor muda luar biasa.


posted by Martinelli Hashim on

2 comments


Pengalaman sepetang di wad kecemasan HUKM membawa anak yang tercedera kaki semasa main bola.

InsyaAllah bakal doktor pemegang amanah ummah dari KMB
Setelah pemeriksaan tapisan pertama kami menunggu pemeriksaan selanjutnya. Mungkin keadaan anak saya tidak begitu serius kami menunggu agak lama supaya adil kepada yang lebih memerlukan. Tiba giliran kami. Seorang doktor muda menyambut  dengan penuh mesra.

"Maaf, puan terpaksa tunggu lama, ye? ....Puan dari mana?.....Gombak kat mana? ....oo kat situ ada....Adik sekolah kat mana?......."

Sambil membaca lampiran-lampiran dan memeriksa keadaan kaki anak saya, dia masih sempat bertanya soalan2 yang menenangkan perasaan pesakit. Budi bahasa yang amat sempurna dan raut wajah yang penuh senyuman membuatkan hilang rasa letih menunggu.

Pada masa itu beliau juga dikelilingi para pelajar perubatan. Mungkin beliau seorang tenaga pengajar juga. Saya dapat rasakan betap bertuahnya pelajar-pelajar itu mendapat tunjuk-ajar yang begitu baik. Sebelum ini sudah kerap saya melihat para pelajar diperlakukan secara kasar dihadapan pesakit.

Dia menerangkan segala-galanya tentang kedudukan tulang anak saya dengan baik dan apa yang perlu dilakukan.

Terkenang saya pengalaman tinggal di U.K selama 3 tahun, beginilah suasananya apabila pergi ke klinik. Para doktor sangat peramah. Suasana yang jauh berbeza di negara sendiri terutama di hospital kerajaan. Saya sudah terbiasa dirawat oleh doktor-doktor yang gersang dengan senyuman, jauh lagi dari sifat mesra pesakit.

Doktor muda ini membuktikan doktor Malaysia juga mampu berbudi bahasa.  Saya juga mengalami suasana begini apabila bertemu dengan Prof Raymond Abdullah yang sekarang menjawat jawatan Pengarah HUKM. Orangnya luar biasa hebat apabila merawat pesakit. Beliau selalu membuat saya hairan dari mana beliau mendapat semangat dan kesabaran yang luar biasa menangani kerenah pesakit dari budak kecil hinggalah ke orang berpangkat tinggi yang dilayan tanpa apa-apa perbezaan. MasyaAllah...mungkin doktor-doktor begini hati mereka sudah di'bedah' dahulu untuk membuang sifat-sifat buruk sebelum mereka membedah orang lain.

Setiap kali berpeluang berceramah kepada pelajar-pelajar Medic UIA, sering saya katakan. "Kalau jadi doktor nanti, jadilah doktor yang luar biasa, bukan yang biasa-biasa. Doktor luar biasa dapat dirasakan kebaikannya oleh pesakit dan waris mereka. Siapa tahu pesakit itu adalah insan yang dikasihi Allah yang doa mereka tidak terhijab. Usah bermegah, kerapkan bermuhassabah. Antara dosa dan pahala ada ruang tersedia untuk makhluk berfikir."

Sebelum keluar dari bilik rawatan itu saya sempat bertanya doktor itu lulusan dari universiti mana.

Beliau menjawab, "Saya dari UIA."

Masya Allah. Doa saya agar doktor muda ini serta teman-teman seperjuangannya hidup dalam curahan rahmat Allah dan terus berbakti kepada ummah sebagaimana janji mereka sebelum dilepaskan ke masyarakat dahulu.Mereka milik ummah dan kepada ummah harus berbakti.

INDAHNYA SENJA DI BANTING


posted by Martinelli Hashim

4 comments


Dua minggu menuju Ramadhan. Jam 7.30 mlm, kedengaran azan Maghrib. Kami dalm perjalanan menghantar anakanda Syakirah ke asrama Kolej Mara Banting.   Hazim memandu kereta. Dalam kepala sedang memikirkan betapa sepanjang 2 hari ini kesibukan urusan keluarga, saya tidak sempat menghadirkan diri bersama jiran-jiran di surau TPJ menyambut Nisfu Sha'ban.

Tiba-tiba mata kami tertumpu kepada langit di ufuk barat yang perlahan-lahan berubah membentuk corak yang luar biasa indah. Lantunan cahaya dari matahari terbenam seolah-olah menggambarkan seluruh alam sedang tunduk kepada Penciptanya. Allahu Akbar. Bergetar seluruh badan, merasakan kehadiran Allah yang sudah tentu membawa mesej yang meminta kita mencari erti kepada keajaiban ini.

Apakah ini peringatan dari Allah, "Wahai manusia yang lalai, seluruh alam sedang bersiap menanti kedatangan Ramadhan, bagaimana dengan kamu? Apakah masih sibuk dengan dunia?"

Kami tergamam. Pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

"Ya Allah, cantiknya, bu... semalam malam nisfu Sya'ban....."
"SubhanaLlah, cantik. betul."

Kami berhenti di tepi jalan mengambil gambar menggunakan kamera telepon bimbit. Ada beberapa buah kereta lain turut berhenti.

Masya Allah. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan semua ini sia-sia. Peringatan demi peringatan diberikan melalui ayat-ayat alam untuk membantu manusia mendekati Rabbnya.

Faghfirlana ya Allah. Tubna ilAllah.  Arhamna Ya Allah.

Menjejaki Mujahid Tulin dari Taman Ilmu dan Budi


posted by Martinelli Hashim on

1 comment

pic from this blog 


Terharu saya membaca beberapa tulisan dalam blog bekas2 pelajar UIA tentang kerinduan mereka terhadap universiti tercinta ini. Contohnya blog ini dan ratusan blog lain.

Semasa berjalan di kota Istanbul, saya bertemu beberapa bekas pelajar UIA dari Turkey yang menyatakan kerinduan mereka juga kepada kampus ini.

Bagi sebahagian besar pelajar-pelajar kenangan kehidupan di kampus adalah amat bermakna membantu mencorakkan pemikiran mereka tentang tanggungjawab ummatik. Mereka menempuh jalan mujahid  yang meletakkan kepentingan peribadi di belakang kepentingan ummah. Allah di depan segala yang lain.

Ada yang sanggup menolak jawatan yang lebih tinggi gajinya di luar sana demi untuk menginfakkan masa meneruskan perjuangan di gelanggang ini…mujahid yang sentiasa merindui jalan jihad demi agama tercinta.

Seorang mujahid tulin akan merasa resah apabila terhenti aktiviti da’wah. Walau di mana mereka berada, walau sesempit mana masa yang ada, walau sekosong mana saku dengan ringgit, walau sesusah mana kehidupan, bakti untuk membawa risalah Allah tidak akan dibiarkan terhenti. Berhenti berda’wah seolah-olah terhenti nadi mereka dari berdenyut. Jiwa mereka tidak tenang. Itulah mujahid tulin yang rindu mereka kepada perjuangan tidak memungkinkan mereka mencari alalsan utuk berdiam diri. Mereka tidak lena diulik kesenangan dunia.

Memang ramai yang berjiwa begitu. Ramai juga yang ingin meneruskan kegiatan seperti dulu tetapi tidak mampu melakukannya. Di antara cabarannya adalah seperti:



- Suasana kerja yang tidak memberi ruang waktu.

- Suasana hidup berkeluarga yang menuntut perhatian.

- Kehidupan sosial yang baru menuntut perubahan cara bergaul.

- Teman-teman perjuangan sudah jauh, tiada lagi usrah, tiada lagi tazkirah untuk mengingatkan  
   diri.

- Tuntutan kewangan yang  tiada hentinya.

- Tidak mampu menguruskan masa dengan baik.

- Kemalasan yang tidak terubat.


Kesemua itu adalah cabaran dilalui oleh setiap  graduan selepas melangkahkan kaki ke luar dari kampus. Selama 4 hingga 6 tahun melalui tarbiyyah penyucian minda agar mereka keluar membawa obor penerang ummah. Kalau obor yang dibawa tidak cukup terang buat menerangi alam, sekurang-kurangnya ia sudah cukup terang untuk menerangi perjalanan diri sendiri, perjalanan hidup luhur berpanjikan shari'at.

Berbekalkan semangat itu  ramai yang masih meneruskan jejak da'wah. Mereka adalah mujahid tulin dari Taman Ilmu dan Budi. Sesekali mereka akan singgah buat mengisi kerinduan kepada tempat mereka pernah dididik membantu adik-adik yang masih di sini.

Bagi yang tidak punya masa berda'wah masih ada peluang membantu jalan da'wah melalui sumbangan lain terutama kewangan. Universiti bersusah payah mencari dana membiayai perbelanjaan buat menggerakkan operasinya menggilap minda dan jiwa pelajar. 

Berapa ramai yang tahu sebenarnya yuran yang dibayar oleh pelajar hanya mampu membiayai 7% dari seluruh perbelajaan universiti setiap tahun  Sebanyak 93% lagi perlu dicari agar operasi universiti tidak terhenti.

Berapa ramai yang tahu kesusahan yang terpaksa ditempuh oleh pentadbiran universiti mencari dana yang semakin berkurangan kini. Peruntukan bajet dipotong sedangkan  kos pengurusan semakin  meningkat.

Semuanya dilakukan untuk meneruskan perjuangan mendidik bakal pemimpin ummah. Hanya sebahagian yang tahu tentang tanggungjawab ummatik ini kerana tidak semua manusia mampu menjiwai hidayah Allah. Tidak semua yang mensyukuri nikmat dididik di sini. Mereka yang mensyukurinya akan merasa rindu.  Mereka yang sangat rindu akan meneruskan tekad tidak akan berhenti berjuang walau sekadar menyumbang idea atau seringgit dua ke dalam tabung masjid UIA. Mereka juga adalah mujahid tulin dari Taman Ilmu dan Budi.

Teringat kata-kata Datuk Seri Rektor, Prof Syed sewaktu membincangkan kesempitan kewangan universiti, “I wonder why our alumni do not have the feelings to contribute back to the University. I know they love the university...but they don't show it through contributions. There are thousands of them out there. What can we do to have alumni  like those from Havard or other western universities. Their universities are well supported financially by their alumni.”

Memang benar, tidak mudah menjadi mujahid pembawa obor ummah....ia memerlukan pengorbanan. Dalam banyak-banyak pengorbanan, pengorbanan wang ringgitlah yang paling susah terutama di kalangan orang Melayu. Sebahagian besar orang Melayu selalunya akan mempersoalkan secara sangat terperinci sebelum memberi sumbangan walau sumbangan itu tidak sebesar mana pun. Suatu yang berbeza dengan kaum lain. Akhirnya peluang mengumpulkan pahala bersedekah terlepas begitu saja.

Kalau setiap alumni menginfakkan 1% pendapatan mereka kepada UIA, kita  tidak perlu lagi menagih dana dari pemerintah dan kita akan punya autonomi sendiri……… namun siapa yang sanggup melakukan jihad yang ini, jihad wang ringgit lebih berat dari jihad masa walaupun hanya RM10 sebulan i.e tidak sampai 50sen sehari.




"Saya anak tak guna....?!!."


posted by Martinelli Hashim on

2 comments


Usah tanya kenapa saya mencintai tugas saya membawa anak-anak muda Taman Ilmu dan Budi menyelami kehidupan masyarakat yang penuh ranjau dan duri melalui CENSERVE. Ini adalah gelanggang kemanusiaan. Mencintai tugas membuat kita bahagia... CINTA pertama saya di Taman Ilmu dan Budi. Saya mahu menyentuh jiwa mereka agar 

" hidup biar berjasa, mati biar beriman. Berfikir biar berilmu, berbicara biar berbahasa, bergaul biar beradab, berakal biar berakhlak.Yang miskin usah dihina, yang kaya usah disanjung. Yang lemah usah dipijak, yang berkuasa usah dijulang.
 
Taburkanlah budi dan kasih sayang di setiap perhentian sebelum tibanya kita di perhentian yang abadi" ....tagline yang saya mahu mereka hayati sepenuhnya sebagai pembawa obor ummah.

Di gelanggang ini anda akan bertemu ribuan kisah yang menghiris rasa insani.

Di bawah ini adalah secebis dari ribuan kisah masyarakat yang ditemui pada saat si kaya dibuai mimpi, si berkuasa mendabik dada malah si ilmuan hanya menatap kitab sedang si miskin hidup merana.

Ceritanya....

"Saya memang anak tak guna. Saya tak pernah mimpi masuk ke pusat pemulihan ni. Memang salah saya tak ikut cakap mak. Mak dah marah saya berkawan dengan budak-budak kaki dadah tu. Saya ingat saya kuat. Lama-lama saya terseret sama." Kata Abeng (bukan nama sebenar) sambil tangan menggosok-gosok paha kanannya.

Abeng yang sepatutnya membuat persediaan untuk menduduki SPM tetapi terperangkap dengan ketagihan dadah yang mengaktifkan hormon lelakinya.

"Malam tu saya lepak dengan kawan-kawan. Tiba-tiba seorang kawan suruh saya cuba 'barang baru'. Saya tak nak. Dia masukkan serbuk ke dalam air dan suruh saya cuba minum sikit je. Saya tolak. Dia kata saya pondan. Kalau nak tunjuk saya jantan saya kena minum. Lepas dia cabar macam-macam saya panas hati  juga. Saya minum sampai habis. Apa lagi, tak sampai 2-3 minit saya terus macam orang gila. Saya tak boleh tahan. Saya kena cari perempuan. Saya dapat 'kerjakan' awek saya malam tu. " Sambung Abeng yang berjaya dipujuk untuk menceritakan kisahnya.

"Mula-mula awek saya menolak. Saya dapat pujuk dia. Saya tak sedar rupanya kejadian malam tu buat saya ketagih dengan perempuan. Saya tak boleh langsung kawal diri.  Mak ayah dapat tahu....Tapi masa tu mak ayah marah macam mana pun dah tak ada makna dah. Saya pujuk awek saya lari dari rumah. Dia tompang rumah kawan dia. Kalau nak buat 'projek' saya bawa dia kat rumah member. Kadang-kadang kami buat kat semak. Kami dah tak kira, di mana pun boleh.

Satu hari ayah awek saya dapat jumpa kami. Dia heret anak dia balik. Ketagihan saya dah tak boleh dikawal. Bila dah tak ada awek, saya cari adik  saya. Adik perempuan saya jadi mangsa saya. Bila adik tak ada, nampak mak saya pun saya rasa nak buat dengan mak...." Abeng terdiam sebentar. Matanya mula berkaca.

"Adik saya mengandungkan anak saya. Saya tak tahu macam mana dia sekarang. Saya tak tahu berapa orang anak jiran saya yang mengandungkan anak saya. Saya anak yang tak guna....saya banyak dosa. Mak saya sendiri saya nak  rogol." Sambung Abeng sambil menangis.

Secebis kisah dari ribuan kisah yang menyentap rasa kemanusiaan kita. Tragedi dalam masyarakat Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Peristiwa begini boleh saja berlaku kepada mana-mana remaja. Abeng adalah mangsa pengedar dadah yang boleh membuatkan dirinya ketagihan seks dan tidak mampu mengawal diri hanya dalam tempoh hanya beberapa saat selepas meminumnya. Dia bukan sekadar merosakkan dirinya tetapi merosakkan sesiapa saja untuk melayan nafsunya. Tiada jaminan mana-mana wanita akan terlindung dari ancaman orang-orang seperti Abeng. Dia tidak akan memilih mangsa apabila ketagihannya menyerang.

Ramai remaja tidak sedar rakan-rakan memasukkan sedikit serbuk dadah  ke dalam minuman mereka akhirnya akan merosakkan seluruh hidup mereka. Ibu bapa Abeng tidak tahu apa yang harus dilakukan. Masyarakat keliling hanya tahu mencemuh. Dadah ini adalah di antara punca kelahiran bayi yang tidak diingini dan akhirnya dibuang.

Siapakah yang kita persalahkan dalam hal ini?

Tidak ramai yang tahu ketagihan seks seperti Abeng sebenarnya boleh dirawat di hospital.

Masyarakat kita tidak cukup didedahkan kepada kaedah pencegahan yang praktikal. Kempen yang dilakukan hanyalah  berbentuk ceramah-ceramah umum di radio, tv atau pentas pidato yang kaku. Mereka yang mendengar adalah remaja yang sudah sedia baik atau dipaksa mendengar. Remaja yang sudah terjerumus tidak mungkin ada hati untuk mendengarnya.

Tiada kumpulan-kumpulan 'support group' untuk keluarga yang menghadapi masalah seperti Abeng. Akhirnya    masyarakat terkapai-kapai tanpa panduan yang boleh diikuti.

Sekiranya anda tekan butang "like" di bawah atau share di facebook, anda sedang membantu menyebarkan daawah agar ramai yang sedar tanggungjawab menyelamatkan ummah.

Anak-anak Taman Ilmu dan Budi, berbaktlilah untuk ummah

IMAM MUDA HASSAN ADLI DAN KISAH UIA


posted by Martinelli Hashim on

11 comments

Inilah mak  inilah juga abah saya, kata IM Hassan


Sudah beberapa hari membincangkan apa  yang terbaik untuk meningkatkan kualiti  pelajar. Semua orang mahu agar yang dihasilkan oleh UIA adalah manusia yang berperibadi unggul dan beragama sepenuhnya. Bukan mudah melaksana amanah. Memerah otak bukan semudah memerah santan kelapa. Perbincangan demi perbincangan dibuat. Hati membara mencapai misi ummah. Sudah terlalu sedikit waktu untuk diri sendiri.

Malam tadi duduk bersama anak-anak menonton acara kemuncak Imam Muda.  Program yang amat sesuai untuk semua namun tidak seramai peminat AF atau mentor atau Maharaja Lawak. Tidak ramai pun yang tahu bahawa malam tadi adalah final Imam Muda. Tetapi semasa final Akademi Fantasia  bandar-bandar dan kampung-kampung seluruh negara lengang seperti dilanda garuda kerana jutaan manusia sedang terpacak di depan tv.  Ribuan program merosakkan minda  tetapi rancangan Imam Muda bangkit menorobos kegersangan moral anak muda.

Saya mengikuti program realiti ini sejak dulu. Semasa peringkat awal audition, saya memujuk  anak-anak didik saya menyertainya kerana saya merasakan mereka punya potensi besar untuk menang. Terasa agak kecewa juga apabila tidak ada anak didik saya di UIA ini yang berjaya saya pujuk.

Namun malam tadi ....... seribu kesyukuran, Imam Muda Hassan Adli Yahya, graduan UIA yang  aktif semasa belajar dulu dinobatkan  sebagai Imam Muda Unggul 2011. Beliau lulusan Ijazah Srjana Muda Ilmu Wahyu dalam bidang Qur'an dan Hadith di UIA . Kini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa, anak syarikat UIA.

Betapa bangganya teman-teman beliau dengan kejayaan ini. Namun wajahnya hanya tersenyum dan meyatakan kejayaan itu untuk "Mak dan arwah ayah ."


Beliau menang dalam masa orang mempertikaikan mutu pelajar UIA. Beliau berdiri sebagai wira yang menjadi kebanggaan keluarga, kampung,  sekolah dan mereka yang menyayanginya. Beliau berhasil membawa kejayaan menyejukkan hati masyarakat UIA. Sudah berapa lama kita merasa resah dengan kemasukan pelajar-pelajar yang nakal dan tidak sempurna syakhsiah ke UIA dan memburukkan imej ke Islaman universiti tercinta ini.


Mesra bersama anak yatim kerana Hassan pun anak yatim juga
Beliau dinobatkan sebagai insan berpeibadi unggul dalam waktu beberapa kalangan menuduh pelajar UIA tidak bermoral.

Saya rasakan adalah tidak adil menuduh UIA gagal mendidik pelajar. Mereka yang masuk itu dipilih oleh UPU secara rambang. Adakalanya bukan pilihan calon pun. Sebelum ke universiti mereka sudah melalui 11 tahun alam persekolahan. Kalau 11 tahun pertama semasa jiwa masih lagi lembut melalui pendidikan tetapi masih gagal mendidik moral, bagaimana mungkin UIA mampu merubah mereka dengan mudah.  pada waktu jiwa mereka sudah pun keras  sewaktu memasuki UIA.

Kalau ibu bapa sendiri tidak mampu menegur, bagaimana mungkin guru yang asing boleh menundukkan mereka dengan mudah. Sedangkan guru yang mendidik pun tidak dihormati, mana mungkin mereka boleh hormat kepada pengawal keselamatan.

Lancar memberi tazkirah kerana sudah biasa di UIA dulu

Apabila isu pelajar nakal timbul, pentadbiran UIA dituduh tidak menjalankan tugas mengatasi isu moral di kalangan pelajar. Menuduh orang lain adalah suatu yang amat mudah untuk dilakukan tetapi bagaimana pula dengan tugas kita sebagai orang Islam untuk melakukan sesuatu bagi memperbaikinya?

Kalaulah UIA boleh memilih hanya orang seperti Imam Muda Hassan diterima belajar di UIA sudah tentu isu menuduh UIA tidak timbul. Realitinya tidak begitu. UIA tidak diberi kuasa memilih calon pelajarnya seperti tahun-tahun awal penubuhannya. Kalau UIA hanya menerima yang baik saja, yang tidak baik apakah mungkin dibiarkan begitu saja? Tidak sempurnalah da'awah kita kalau begitu.

Usah kita lupa tugas universiti adalah untuk mendidik pelajar termasuklah mereka yang kurang  baik akhlak mereka. Siapa saja yang masuk akan dididik sebaiknya. Pelajar yang nakal cuba diinsafkan dan yang baik dibaikkan lagi. Terpulanglah kepada mereka berfikir kerana usia 20an itu bukan anak-anak lagi. Mereka yang masuk itu bukanlah bayi kecil seputih kain putih yang mudah untuk dicorakkan mengikut corak yang kita mahu.

Kalau dizaman persekolahan pun sudah berani mencabar guru, apa lagi dalam usia dewasa, mana ada lagi rasa takut kepada pensyarah, jauh sekali kepada pentadbir atau pengawal yang mereka rasa sangat rendah statusnya.

Ilmu perlu dicari bukan menunggu untuk disuap. Murid menghadap guru dengan bersungguh-sungguh dan penuh hormat. Murid perlu berhati-hati agar tidak memburuk-burukkan mereka di belakang, takut pahala mencari ilmu hilang dan dosa yang dapat. Usah menyalahkan guru tidak mengajar dengan betul. Kalau mungkin ada guru yang kurang betul sudah tentu masih ada yang  betul. Kalau ada kakitangan yang tidak betul,  masih ada yang betul. Tanyalah pula apa peranan kita membantu mereka membetulkannya agar menjadi betul selain dari mengkritik dari jauh. Sekurang-kurangnya bacalah seayat doa buat mereka agar diberi hidayah memikul amanah sebaik-baiknya. Pernahkah kita melakukannya demi universiri tercinta ini?

Sebagai orang yang turut terlibat membincangkan strategi univerisiti menangani isu moral pelajar, saya dapat merasakan besarnya cabaran dan beratnya amanah. Namun demi untuk mencapai misi UIA menghasilkan anak muda penyelamat ummah, sepahit mana ujian, seberat mana tanggungjawab, usaha tetap diteruskan.

Semoga kemenangan Imam Muda Hassan menjadi pemangkin untuk anak muda lain untuk terus mengangkat martabat ummah.

ARTIKEL LAIN:

Kebenaran Ini